Monday 17 September 2012

Tiada lagi akses utk filem hina Rasulullah di internet


KUALA LUMPUR: Filem anti-Islam 'Innocence Of Muslims' yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam, didapati tidak lagi boleh diakses melalui saluran YouTube selepas kerajaan bertindak menyekat penyiarannya.

Cubaan Bernama hari ini untuk mengakses kandungan filem itu gagal, menjurus kepada pengamatan bahawa pengguna Internet di negara ini telah dihalang daripada mengakses filem kontroversi itu.
Hanya maklumat pemberitahuan meminta maaf tertera pada skrin yang berbunyi: "This content is not available in your country due to a legal complaint. Sorry about that" (Kandungan ini tidak boleh ditonton di negara anda berikutan aduan secara perundangan. Maaf mengenai perkara itu).

Filem arahan Sam Bacile, 52, dari California, yang disiar dalam laman YouTube mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Dua hari lepas, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, Malaysia akan menyekat penyiaran filem itu yang jelas menghina agama Islam.


Rais dipetik sebagai berkata, beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk berunding terus dengan pihak berkuasa lain supaya tidak membenarkan akses kepada paparan itu sama ada melalui YouTube atau saluran lain. - BERNAMA