SESEORANG yang memiliki ikatan hati sangat kuat dengan sahabatnya
disebabkan cinta kepada Allah SWT akan saling mengingatkan antara satu
sama lain, berkongsi rasa duka, apatah lagi gembira dan suka.
Hubungan persahabatan begitu juga membolehkan sahabat merasakan manisnya
iman sehingga ada yang berubah pendirian dan sikap untuk lebih
menghampiri Penciptanya. Wanita tidak terkecuali dalam membina ukhuwah
sesama Muslim.
Tidak salah menyintai sahabat yang baik, mengasihi dan menyayanginya
seperti kita dicintai, dikasihi dan disayangi, tetapi biarlah kerana
Allah SWT, tidak melencong daripada landasan agama selain sentiasa
saling mengingatkan azab yang pedih.
Silaturahim umat Islam dibina kerana Allah SWT lebih kuat dan teguh
kerana iman setiap orang mukmin kepada Allah SWT disambungkan kepada
saudara seagama menjadikan pertautan hati, jiwa, akal serta rohani yang
tiada taranya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada
tiga hal yang apabila ada pada seseorang, nescaya dia akan merasakan
manisnya iman; menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada
yang lain. Dan apabila menyintai seseorang, dia tidak menyintainya
melainkan kerana Allah SWT. Dan dia enggan kembali kepada kekufuran
selepas Allah menyelamatkannya seperti dia enggan dilemparkan ke
neraka.”
Orang yang merasai manisnya iman sukar berkongsi apa
dirasai dengan orang lain melainkan perasaan sama turut dialami. Yang
pasti, Nabi Muhammad SAW yang digelar kekasih Allah manusia paling dekat
hatinya dengan Allah kerana Baginda menyintai Allah melebihi yang
lainnya.
Baginda SAW sanggup menghadapi apa juga bahaya serta
bencana semata-mata mempertahankan agama dan mesej dibawa dari Yang Maha
Esa. Umat Islam pula akan merasai manisnya iman dengan menyintai Allah
dan Rasul lebih daripada segala-galanya.
Seseorang isteri menyintai suaminya tanpa berbelah bahagi sehingga
sanggup meninggalkan agama, keluarga dan tanah air untuk berada di
samping suami. Itu tanda cinta yang tiada bandingannya.
Situasi serupa juga akan dirasai jika kita menyintai Allah dan Rasul,
sehingga cinta itu tidak terungkap oleh kata-kata, sebaliknya kita akan
sentiasa gembira dan tenang apabila mendampinginya serta menjauhi yang
tidak disukai kerana bimbang dibenci.
Wanita muslimah yang
menjalin persahabatan sesama saudara seagama perlu mengambil kesempatan
untuk merasai manisnya iman dengan membina ukhuwah dan menyintai sahabat
kerana Allah SWT.
Walaupun tiada di depan mata, silaturahim
tetap terbina dengan ikatan hati yang kukuh jika kita sentiasa
menghampiri-Nya kerana iman kepada Allah disambungkan kepada saudara
seagama.
Kesibukan urusan harian dan komitmen pada keluarga
sepatutnya tidak membataskan wanita menjalin hubungan persahabatan,
tambahan pula kecanggihan teknologi hari ini memudahkan lagi perhubungan
tanpa memerlukan masa atau tenaga yang banyak.
Ada sahabat yang
memerlukan kita berkongsi masalah dihadapi dan meminta pertolongan
mengatasi kesusahan membelenggu. Hubungan erat dan ikhlas tentunya dapat
membantu sahabat dalam kesusahan dan memanfaatkan diri kita yang
dilahirkan ke dunia kepada orang lain.
Jangan pula ada wanita
mengambil kesempatan membina hubungan sesama wanita melampaui daripada
batasan sepatutnya seperti menjalin hubungan songsang yang bertentangan
dengan agama dan norma.
Bahkan, ada yang meminta cerai daripada
suami untuk ‘hidup bersama’ dengan teman wanita yang dicintai. Hubungan
sesama wanita yang tidak menimbulkan syak dijadikan kesempatan melakukan
perkara menyalahi syariat agama.
Tidak salah menyintai sahabat
yang baik, mengasihi dan menyayanginya seperti kita dicintai, dikasihi
dan disayangi, tetapi biarlah kerana Allah SWT, tidak melencong daripada
landasan agama selain sentiasa saling mengingatkan azab yang pedih.
Orang
yang mengasihi kerana Allah mendapat kemuliaan, kebanggaan dan
kehormatan pada saat Allah mengumpulkan mereka pada hari akhirat dan
Allah akan menaungi mereka pada hari berkenaan.
Mereka lupa Allah SWT mengangkat darjat orang yang mengasihi kerana Allah, bukan kerana wang dan pangkat.
Abu
Hurairah, daripada Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Bahawasanya ada seorang lelaki yang hendak mengunjungi saudaranya di
desa lain, maka Allah SWT mengutus malaikat untuk menemuinya di sebuah
jalan yang akan dilaluinya. Selepas bertemu, malaikat bertanya
kepadanya: “Ke manakah kamu akan pergi? Lelaki itu menjawab: Aku akan
menemui saudaraku di desa ini. Malaikat bertanya lagi: Apakah ada
kenikmatan dunia yang kamu harapkan darinya? Lelaki tadi menjawab: Tidak
demikian, tetapi kerana aku menyintainya kerana Allah. Malaikat
berkata: Sesungguhnya aku adalah malaikat yang diutus Allah kepadamu
untuk mengkhabarkan bahawa sesungguhnya Allah sudah menyintaimu seperti
kamu menyintai saudaramu kerana-Nya.” (Hadis riwayat Muslim)