Wednesday, 18 April 2012

sahabat berasaskan iman

SESEORANG yang memiliki ikatan hati sangat kuat dengan sahabatnya disebabkan cinta kepada Allah SWT akan saling mengingatkan antara satu sama lain, berkongsi rasa duka, apatah lagi gembira dan suka.
Hubungan persahabatan begitu juga membolehkan sahabat merasakan manisnya iman sehingga ada yang berubah pendirian dan sikap untuk lebih menghampiri Penciptanya. Wanita tidak terkecuali dalam membina ukhuwah sesama Muslim.
Tidak salah menyintai sahabat yang baik, mengasihi dan menyayanginya seperti kita dicintai, dikasihi dan disayangi, tetapi biarlah kerana Allah SWT, tidak melencong daripada landasan agama selain sentiasa saling mengingatkan azab yang pedih.
Silaturahim umat Islam dibina kerana Allah SWT lebih kuat dan teguh kerana iman setiap orang mukmin kepada Allah SWT disambungkan kepada saudara seagama menjadikan pertautan hati, jiwa, akal serta rohani yang tiada taranya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga hal yang apabila ada pada seseorang, nescaya dia akan merasakan manisnya iman; menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lain. Dan apabila menyintai seseorang, dia tidak menyintainya melainkan kerana Allah SWT. Dan dia enggan kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya seperti dia enggan dilemparkan ke neraka.”

Orang yang merasai manisnya iman sukar berkongsi apa dirasai dengan orang lain melainkan perasaan sama turut dialami. Yang pasti, Nabi Muhammad SAW yang digelar kekasih Allah manusia paling dekat hatinya dengan Allah kerana Baginda menyintai Allah melebihi yang lainnya.

Baginda SAW sanggup menghadapi apa juga bahaya serta bencana semata-mata mempertahankan agama dan mesej dibawa dari Yang Maha Esa. Umat Islam pula akan merasai manisnya iman dengan menyintai Allah dan Rasul lebih daripada segala-galanya.
Seseorang isteri menyintai suaminya tanpa berbelah bahagi sehingga sanggup meninggalkan agama, keluarga dan tanah air untuk berada di samping suami. Itu tanda cinta yang tiada bandingannya.

Situasi serupa juga akan dirasai jika kita menyintai Allah dan Rasul, sehingga cinta itu tidak terungkap oleh kata-kata, sebaliknya kita akan sentiasa gembira dan tenang apabila mendampinginya serta menjauhi yang tidak disukai kerana bimbang dibenci.

Wanita muslimah yang menjalin persahabatan sesama saudara seagama perlu mengambil kesempatan untuk merasai manisnya iman dengan membina ukhuwah dan menyintai sahabat kerana Allah SWT.

Walaupun tiada di depan mata, silaturahim tetap terbina dengan ikatan hati yang kukuh jika kita sentiasa menghampiri-Nya kerana iman kepada Allah disambungkan kepada saudara seagama.

Kesibukan urusan harian dan komitmen pada keluarga sepatutnya tidak membataskan wanita menjalin hubungan persahabatan, tambahan pula kecanggihan teknologi hari ini memudahkan lagi perhubungan tanpa memerlukan masa atau tenaga yang banyak.

Ada sahabat yang memerlukan kita berkongsi masalah dihadapi dan meminta pertolongan mengatasi kesusahan membelenggu. Hubungan erat dan ikhlas tentunya dapat membantu sahabat dalam kesusahan dan memanfaatkan diri kita yang dilahirkan ke dunia kepada orang lain.

Jangan pula ada wanita mengambil kesempatan membina hubungan sesama wanita melampaui daripada batasan sepatutnya seperti menjalin hubungan songsang yang bertentangan dengan agama dan norma.

Bahkan, ada yang meminta cerai daripada suami untuk ‘hidup bersama’ dengan teman wanita yang dicintai. Hubungan sesama wanita yang tidak menimbulkan syak dijadikan kesempatan melakukan perkara menyalahi syariat agama.

Tidak salah menyintai sahabat yang baik, mengasihi dan menyayanginya seperti kita dicintai, dikasihi dan disayangi, tetapi biarlah kerana Allah SWT, tidak melencong daripada landasan agama selain sentiasa saling mengingatkan azab yang pedih.

Orang yang mengasihi kerana Allah mendapat kemuliaan, kebanggaan dan kehormatan pada saat Allah mengumpulkan mereka pada hari akhirat dan Allah akan menaungi mereka pada hari berkenaan.

Mereka lupa Allah SWT mengangkat darjat orang yang mengasihi kerana Allah, bukan kerana wang dan pangkat.

Abu Hurairah, daripada Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Bahawasanya ada seorang lelaki yang hendak mengunjungi saudaranya di desa lain, maka Allah SWT mengutus malaikat untuk menemuinya di sebuah jalan yang akan dilaluinya. Selepas bertemu, malaikat bertanya kepadanya: “Ke manakah kamu akan pergi? Lelaki itu menjawab: Aku akan menemui saudaraku di desa ini. Malaikat bertanya lagi: Apakah ada kenikmatan dunia yang kamu harapkan darinya? Lelaki tadi menjawab: Tidak demikian, tetapi kerana aku menyintainya kerana Allah. Malaikat berkata: Sesungguhnya aku adalah malaikat yang diutus Allah kepadamu untuk mengkhabarkan bahawa sesungguhnya Allah sudah menyintaimu seperti kamu menyintai saudaramu kerana-Nya.” (Hadis riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment