Monday 12 March 2012

Tindakan berani Shahrizat lepas jawatan menteri harus dipuji

AKHIRNYA Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membuat keputusan melepaskan jawatan menterinya apabila penggal beliau sebagai Senator berakhir bulan depan. Dalam pengumumannya di Desa Water Park, semalam beliau masih mengekalkan jawatan Ketua Wanita UMNO dan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN). Sebelum ini, pelbagai pihak, termasuk pemimpin UMNO, antaranya Tan Sri Rafidah Aziz mahu beliau berundur daripada jawatannya selepas dikaitkan dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang diterajui suaminya, Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail yang terbabit dalam projek lembu daging di Gemas, Negeri Sembilan.

Shahrizat dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai senator pada 8 April ini. Walaupun masih ada yang mahu Shahrizat berundur segera tanpa menunggu tamat tempoh pelantikan senatornya, selain mahu beliau melepaskan jawatan Ketua Wanita UMNO dan BN, tindakan berani beliau itu seharusnya dipuji. Bukan satu keputusan yang mudah untuk melepaskan jawatan menteri, apatah lagi jawatan itu menjadi idaman mana-mana pemimpin parti politik. Kita seharusnya menghormati alasan Shahrizat, sebagai anggota kerajaan beliau membuat perkara yang betul untuk berundur dan akan memastikan siasatan ke atas NFC diteruskan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sedia menunggu keputusan mengenainya.Berdasarkan perkembangan politik semasa dan perkembangan kes NFC, khususnya timbul pelbagai dakwaan mengenai penyelewengan dana kerajaan dalam syarikat itu, ia adalah tindakan terbaik yang diambil Shahrizat bagi mengelakkan kerajaan dibabitkan dengan pelbagai isu membabitkan NFC. Kita percaya ada hikmah tersembunyi untuk Shahrizat dan kerajaan apabila beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan menteri. Tiada siapa dapat menafikan sumbangan besar beliau dalam kerajaan sepanjang berkhidmat sebagai menteri selama 10 tahun.

Malah, beliau diakui membawa beberapa perubahan di kementerian dan agensi di bawahnya, terutama terhadap kumpulan sasaran seperti wanita, keluarga, orang kurang upaya dan kanak-kanak, selain menangani pelbagai isu kebajikan dan pembangunan masyarakat, termasuk warga tua. Kita juga tidak boleh melupakan jasa Shahrizat dalam soal pindaan Perlembagaan yang menetapkan tiada lagi diskriminasi terhadap wanita dan keluarga, sekali gus mengukuhkan kedudukan wanita dalam pembangunan negara. Apapun, kita harus hormati Shahrizat yang pernah menjadi peguam terlatih dan majistret dalam menetapkan sebarang keputusan untuk dirinya dan kerajaan

No comments:

Post a Comment